Lebih 3,000 Pokok Zaitun Dimusnah Tentera Israel Di Ramallah

RAMALLAH: Tragedi terbaru melanda kampung al-Mughayyir berhampiran Ramallah, apabila lebih 3,000 pokok zaitun berusia puluhan tahun dimusnahkan oleh tentera Israel atas alasan ‘ancaman keselamatan’.

Pokok-pokok itu bukan sekadar tanaman biasa. Ia adalah nadi ekonomi dan warisan turun-temurun rakyat Palestin yang dicabut hingga ke akar, seolah-olah mahu memadam sejarah dan masa depan mereka.

Menurut pempengaruh media sosial, Irfan Khairi, tindakan itu bukan sahaja meragut hasil bumi tetapi menyentuh jiwa masyarakat Palestin.

“Setiap pohon adalah sebahagian daripada hidup kami.

“Bila ia dicabut, yang hilang bukan sekadar buah, tapi warisan dan masa depan anak-anak kami,” kata Irfan.

Sejak 1967, tindakan Israel terhadap tanah Palestin dilihat konsisten dengan merampas kawasan subur, menyekat akses air, menutup ladang dan memusnahkan hasil tanaman.

Di Gaza, rakyat berdepan kebuluran akibat sekatan bantuan makanan.

Di Tebing Barat pula, ekonomi belia dan petani dihancurkan perlahan-lahan.

Pemerhati menyifatkan tindakan itu sebagai strategi senyap untuk melemahkan bangsa Palestin dengan mencabut akar ekonomi mereka.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendedahkan lebih dua juta pokok zaitun telah dimusnahkan sejak 1967.

Tanaman itu menyumbang hampir 14 peratus pendapatan rakyat Palestin dan menjadi simbol identiti yang diiktiraf sejak zaman silam.

Anda Mungkin Berminat