SUDAN: Tragedi yang menimpa Wilayah Darfur Utara, di sini, telah menggemparkan dunia.
Dalam tempoh dua minggu yang penuh keganasan sejak 10 April, memetik laporan Al Jazeera, lebih 480 orang awam telah kehilangan nyawa dan menjadikan angka korban sebagai simbol keperitan yang menghantui wilayah itu.
Malah, pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, “jumlah sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi”.
Namun, serangan yang melanda wilayah itu bukan hanya sekadar peperangan.
Darfur Utara telah menjadi medan pertempuran antara tentera Sudan yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan dan pasukan paramilitari Pasukan Sokongan Rapid (RSF), yang dipimpin oleh bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo.
Tetapi apa yang membezakan kekejaman itu adalah sifat serangan bersifat etnik serta keganasan seksual yang menimpa kanak-kanak lelaki dan perempuan lalu menjadikan apa yang PBB gambarkan sebagai “krisis kemanusiaan terburuk di dunia.”
“Penderitaan rakyat Sudan sukar untuk dibayangkan, lebih sukar untuk difahami dan mustahil untuk diterima,” tegas Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.
Keberanian beliau mengungkapkan keperitan yang tidak boleh diterima menunjukkan betapa perlunya perhatian dunia terhadap isu ini.
Tragedi kem Zamzam antara 11-13 April menjadi satu lagi titik hitam sejarah dengan serangan yang membunuh sekurang-kurangnya 210 orang awam termasuk sembilan profesional perubatan.
Lebih mengerikan lagi adalah laporan tentang “wanita, kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki yang diperkosa atau diperkosa secara berkumpulan di sana atau semasa mereka cuba melarikan diri.”
Serangan ini adalah bukti jelas betapa kejamnya penderitaan di Darfur.