PETALING JAYA: Kerajaan meneruskan komitmen terhadap kebajikan pendidikan dengan melaksanakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026, melibatkan pemberian RM150 secara ‘one-off’ kepada lebih 5.2 juta murid sekolah termasuk pelajar Tingkatan 6.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu hantaran di Facebook berkata, langkah itu bertujuan membantu meringankan kos penyediaan kelengkapan persekolahan, sekali gus memastikan setiap murid dapat memulakan sesi akademik dengan lebih selesa.
“Bagi tahun 2026, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa,” kata KPM.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memastikan penyampaian lebih berkesan, malah mengeratkan hubungan kerjasama antara guru, murid dan ibu bapa.
“Komitmen berterusan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan murid sentiasa terpelihara demi kelangsungan pendidikan berkualiti,” menurut KPM.
Program BAP yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu menjadi antara inisiatif penting kerajaan dalam menyokong keluarga berpendapatan rendah dan sederhana khususnya menjelang permulaan sesi persekolahan baharu.
Dengan jumlah penerima melebihi 5 juta murid, bantuan itu dijangka memberi kesan langsung kepada jutaan isi rumah di seluruh negara, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti.








