PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia melaksanakan kawalan keselamatan dan lalu lintas sempena perhimpunan “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” yang dijadual berlangsung esok, 9 Ogos 2025 (Sabtu), di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima pemakluman awal daripada penganjur, Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) dan Persatuan Ulama Malaysia.
Menurutnya, perhimpunan yang dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 peserta itu akan melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk gabungan NGO, mahasiswa dan masyarakat awam.
“Peserta akan berkumpul di tiga lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Kompleks Sogo sebelum bergerak ke Dataran Merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, PDRM menjangkakan berlaku kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar berikutan jumlah peserta yang ramai.
Namun, kawalan dan pemantauan trafik akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.
Dalam masa sama, pihak penganjur dan peserta diingatkan mematuhi segala peraturan dan undang-undang, selaras dengan hak berhimpun secara aman di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Para peserta dilarang membawa larangan senjata tajam, mercun, bahan letupan, kanak-kanak, serta sepanduk berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja), selain mengeluarkan ucapan berunsur fitnah dan melakukan provokasi” katanya lagi.
Aktiviti penerbangan dron juga tidak dibenarkan kerana boleh mengundang bahaya kepada orang awam dan harta benda.
Tambah Sulizmie, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau sepanjang perhimpunan berlangsung.
Baca juga:








