Lebih 70,000 guru KAFA bakal nikmati ‘duit raya’ RM250

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 70,000 guru Kelas Al-Quran & Fardhu Ain (KAFA) termasuklah takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut akan menikmat bonus ‘duit raya’ sebanyak RM250 bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata demikian di dalam laman Facebooknya pada Jumaat seusai menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Sultan Ahmad di Kemaman, Terengganu bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau turut menzahirkan rasa penghargaan kepada kerajaan negeri Terengganu atas keterbukaan menjalinkan kerjasama yang strategik dalam menyegerakan beberapa inisiatif walaupun berbeza siasah atau politik demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Saya singgung usaha Kerajaan Persekutuan turun ke negeri-negeri untuk mendengar pandangan sebagai inisiatif berstruktur yang jarang dilakukan pimpinan terdahulu,” katanya.

Jelas beliau, pertemuannya bersama kerajaan negeri berlainan siasah tersebut amat penting bagi mengukuhkan sinergi antara negeri dan persekutuan.

“Meskipun masih banyak ikhtiar dan bantuan yang diperlukan terutama untuk memenuhi keperluan di Terengganu.

“Pertemuan sebegini penting untuk bersama-sama mencari kaedah menyelesaikan permasalahan yang membelenggu rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan kerajaan di bawah tatakelolanya tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri dalam menyalurkan bantuan dan peruntukan terutamanya di Terengganu, yang juga antara tiga negeri tertinggi yang menerima pemberian daripada Persekutuan selain di Sabah dan Sarawak.

Sebagai bukti katanya, Kerajaan Madani telah memperuntukkan lebih RM1.8 bilion khusus buat perbelanjaan pembangunan di Terengganu, yakni peningkatan sebanyak RM239 juta berbanding tahun lalu.

Beliau turut mengingatkan kepada seluruh rakyat untuk bersama-sama merebut peluang di sepanjang sepuluh hari terakhir Ramadan yang mulia ini.

“Kesibukan dunia tidak seharusnya mengikat kita dengan kesibukan hingga lupa untuk merebut ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Allah SWT,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat