Lebih 75,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal

Oleh: Tyah Helmi

GAZA: Lebih 75,000 penduduk Palestin kini kehilangan tempat tinggal malah terpaksa berlindung di lebih 100 pusat perlindungan milik Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) di Semenanjung Gaza.

Menurut laporan Anadolu, majoriti kediaman rakyat Palestin mengalami kerosakan yang begitu teruk akibat serangan Israel di wilayah berkenaan.

“Di Gaza, hampir 75,000 individu yang dipindahkan kini berlindung di lebih 100 bangunan UNRWA, majoriti alami kerosakan dan sesak,” kata UNRWA dalam satu kenyataan di laman X pada Rabu.

UNRWA turut menegaskan bahawa pasukannya secara terus bekerja tanpa henti dalam memastikan tempat perlindungan kekal selamat dengan menyediakan bekalan air, sanitasi, kutipan sisa serta sokongan kebersihan setiap hari ini.

Pejabat Media Kerajaan Gaza turut memaklumkan bahawa kira-kira dua juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah dipindahkan di sepanjang dua tahun perang genosid yang dilancarkan rejim haram Israel.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 288,000 keluarga Palestin kini kehilangan tempat tinggal, manakala orang awam yang dipindahkan terpaksa bertahan di kawasan kecil dan sesak yang kekurangan keperluan asas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat