Lebih 97,000 peminjam MARA disenarai hitam

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Seramai 97,866 orang disenarai hitam sebagai peminjam pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) daripada jumlah 197,348 peminjam aktif.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, tindakan menyenarai hitam peminjam dilakukan sebagai satu langkah pengukuhan kepada pembayaran pinjaman MARA.

“Bagaimanapun, senarai hitam itu terangkum dalam pengurusan MARA saja dan tidak membabitkan agensi atau ekosistem yang lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, pelajar masih boleh mendapatkan pinjaman MARA walaupun ibu bapa mereka disenarai hitamkan dengan rundingan masih boleh dilaksanakan.

“MARA mengambil pelbagai kaedah, asal bayar saja maksudnya, jumlah dan ansuran boleh dikurangkan.

“Pinjaman ibu bapa itu tidak semestinya bayar keseluruhan, bayar tunggakan saja dan ia satu proses yang mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Rubiah memaklumkan, bayaran balik pinjaman pelajaran MARA mencapai sasaran 100 peratus bagi tahun 2023.

Rubiah berkata setakat suku ketiga 2024, peratusan kutipan bagi pinjaman pelajaran sudah mencapai 70 peratus daripada jumlah sasaran yang ditetapkan.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai jumlah peminjam yang disenarai hitam dan langkah untuk melonggarkan syarat pinjaman bagi ibu bapa yang disenarai hitam.

Beliau berkata sehingga September lalu seramai 96,857 pelajar menerima kemudahan pinjaman pelajaran MARA di dalam dan luar negara.

“Daripada jumlah itu mereka yang menerima pinjaman bagi pengajian dalam negara adalah seramai 90,919 pelajar, manakala 5,938 pelajar menerima pinjaman bagi melanjutkan pengajian ke luar negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat