Oleh: Shafira Aziz
BUKIT JALIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dirinya berbangga dipanggil sebagai banduan, daripada dianggap sebagai ‘penyakau’.
“Sekurang-kurangnya, saya tidak ‘menyakau’ projek yang sepatutnya memanfaatkan rakyat.
“Projek 1bestarinet, tebatan banjir dan macam-macam lagi. Sekali boleh sakau, mereka sakau.
“Ya, saya Perdana Menteri. Tapi saya bukan jenis Perdana Menteri seperti kamu,” katanya.
Beliau mengakui bahawa dirinya adalah banduan, namun beliau tidak akan menyakau hak rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan rasa hormat terhadap semua figura yang membantu dalam gerakan reformasi dalam negara.
“Segala perit yang dialami oleh orang ramai untuk hentikan amalan penyakau dan perasuah dalam negara. Ia adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk bangkit,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan untuk jangan lupakan asas perjuangan reformasi sejak 26 tahun yang lalu.
“Untuk apa ribuan dipukul, ratusan dipenjara, diseksa dan dibuang kerja? Ia adalah untuk memberi makna apa itu merdeka dan kebebasan,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan hingga menjadi kerajaan yang sudah mencecah dua tahun.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di acara Perhimpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di Axiata Arena pada Jumaat malam.
Himpunan tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil serta ramai lagi figura terkenal yang turut menyambut perjuangan reformasi ini.
Untuk rekod, himpunan tersebut diadakan bagi memperingati hari dimana Anwar ditangkap selepas mengadakan demonstrasi di Masjid Negara, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.
Beliau ditahan di kediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.