PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatat pencapaian bersejarah apabila jumlah keanggotaan wanita mencecah 554,334 orang setakat 20 Januari 2026, sekali gus memperlihatkan sokongan akar umbi yang kukuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiga negeri mencatat keanggotaan tertinggi iaitu Selangor (173,380), Sabah (85,821) dan Perak (41,029), menegaskan keperluan memperluas ruang kepimpinan serta perwakilan politik wanita di semua peringkat.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat yang dipengerusikan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek pada Rabu lalu turut menekankan kesiapsiagaan jentera wanita dalam menghadapi cabaran politik semasa dan pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim berkata, fokus utama adalah memperkemas gerak kerja bagi mempertahankan kerusi parti.
Katanya, Wanita PKR juga komited memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus kerusi ditandingi calon wanita sebagai langkah penting dalam agenda pemberdayaan politik wanita.
“Dengan jumlah melebihi setengah juta anggota, Wanita PKR akan terus memperkukuh mobilisasi bagi melahirkan kepimpinan wanita yang lebih kuat, progresif dan berwibawa,” katanya.








