KONSERT Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu malam berjaya menghimpunkan lebih 63,000 peminat sekali gus menjadi bukti kukuh legasi tiga dekad biduanita negara dalam industri muzik tanah air.
Konsert yang dibawakan oleh Cuckoo dengan Affin Bank sebagai penaja utama itu menyaksikan Siti Nurhaliza mempersembahkan rangkaian lagu hit sepanjang kerjayanya menerusi pembahagian segmen Dekad 1, Dekad 2 dan Dekad 3, merangkumi era awal pembabitannya dalam industri sehingga kemuncaknya sebagai penyanyi tersohor Nusantara.
Persembahan dibuka dengan lagu ikonik Purnama Merindu, sebelum diteruskan dengan beberapa karya popular antaranya Satu Cinta Dua Jiwa, Percayalah dan Aku Cinta Padamu. Rata-rata lagu dipersembahkan dengan gubahan baharu hasil sentuhan pengarah muzik, Aubrey Suwito, diiringi barisan pemuzik profesional termasuk Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Turut mencuri tumpuan ialah segmen duet bersama Noh Salleh menerusi lagu Kau Mawarku dan Bagaikan Sakti, selain penampilan Hafiz Suip dan Umairah sebagai artis undangan. Konsert diakhiri dengan lagu malar segar Nirmala yang menerima sorakan gemuruh penonton.
Dari segi produksi, konsert ini tampil dengan susunan pentas berskala besar, pencahayaan serta paparan LED yang menyeluruh, termasuk momen istimewa apabila Siti menyapa penonton dari udara dengan berdiri di atas kren, sekali gus merealisasikan impian beliau untuk mendekati peminat di seluruh stadium.
Lebih 30 tahun dalam industri, Siti Nurhaliza terus membuktikan keupayaannya kekal relevan merentasi generasi, usia dan bangsa, apabila peminat dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei hadir menyaksikan konsert bersejarah itu.
Baca juga:








