Legenda Gusti Hulk Hogan Meninggal Dunia pada Usia 71 Tahun

NEW YORK: Dunia gusti kehilangan salah seorang lagenda terbesarnya apabila Hulk Hogan dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun, menurut laporan Yahoo News dan beberapa media Amerika Syarikat.

Mendiang, yang nama sebenarnya Terry Gene Bollea, ditemui tidak bernyawa di kediamannya di Clearwater, Florida pada pagi Khamis. Sumber dari portal hiburan TMZ memaklumkan bahawa beliau dipercayai meninggal akibat serangan jantung.

Dalam satu kenyataan rasmi, World Wrestling Entertainment (WWE) melahirkan rasa dukacita atas pemergian ikon sukan tersebut.

“WWE amat sedih menerima berita pemergian Hulk Hogan, salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam sejarah gusti dan budaya pop dunia,” menurut kenyataan itu.

“Beliau memainkan peranan penting dalam melonjakkan populariti WWE ke peringkat global pada era 1980-an.”

Tambah WWE, seluruh organisasi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat dan jutaan peminat Hogan di seluruh dunia.

Difahamkan, Hogan mengalami masalah kesihatan berpanjangan selepas menjalani beberapa pembedahan kebelakangan ini. Akhbar Daily Star sebelum ini melaporkan bahawa beliau tidak lagi mampu bercakap dan berada di bawah pemantauan petugas perubatan di rumah.

Hogan memulakan kerjaya gusti profesional pada tahun 1977 dengan nama The Super Destroyer, sebelum menukar nama pentasnya kepada Hulk Hogan dan mencetuskan fenomena Hulkamania pada dekad 80-an.

Sepanjang kariernya, beliau pernah berentap dalam perlawanan bersejarah menentang nama-nama besar seperti The Rock dan Andre The Giant, serta diangkat sebagai salah seorang ikon paling dikenali dalam sejarah WWE.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat