KUALA LUMPUR: Wartawan alam sekitar tersohor negara, Datuk Karam Singh Walia, meninggal dunia pada jam 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang, Selangor.
Perkara itu disahkan oleh adiknya, Jasbant Singh, yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.
Beliau merupakan bekas wartawan penyiaran di stesen televisyen swasta, TV3, dan berkhidmat sehingga persaraannya pada 2014.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali dengan gaya penyampaian yang tegas dan berani, termasuk frasa ikonik “Ini bukan cerita baru” yang sering digunakan ketika membongkar isu pencemaran serta salah urus alam sekitar.
Selain itu, mendiang turut menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya dalam bidang kewartawanan, khususnya berkaitan isu pencemaran, keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Keistimewaan beliau bukan sahaja pada laporan yang berimpak tinggi, tetapi juga keupayaan berbahasa Melayu yang fasih serta penggunaan peribahasa yang tajam dan mendalam di penghujung setiap laporan. Difahamkan, beliau memiliki koleksi lebih 4,000 peribahasa Melayu yang sentiasa dijadikan rujukan.
Dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga Punjabi Sikh, Karam Singh Walia mula menyertai TV3 pada 1995 dan menjadi wajah penting siaran Buletin Utama, khususnya pada era 1990-an.
Sepanjang berada di stesen itu, beliau memenangi pelbagai anugerah kewartawanan hasil laporan eksklusif berkaitan isu alam sekitar dan kemasyarakatan. Gaya laporan uniknya yang diselitkan dengan peribahasa turut membantu melonjakkan populariti Buletin Utama.
Menariknya, penglibatan beliau dalam dunia kewartawanan bermula secara tidak dirancang. Bekas guru sekolah menengah dan pensyarah universiti itu terdorong menjadi wartawan selepas kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa menangani wabak denggi di kawasan perumahannya.
Keputusan meninggalkan dunia akademik demi memperjuangkan isu masyarakat nyata memberi impak besar, menjadikan Karam Singh Walia antara tokoh kewartawanan paling berpengaruh dalam bidang alam sekitar di negara ini.
Baca juga:








