IPOH: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu kejadian yang mengorbankan seorang pelajar kolej berusia 18 tahun dalam insiden di Teluk Intan, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang juga rakan kepada si mati berusia 17 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki terkena pada bahagian leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berada berhampiran antara satu sama lain di atas jalan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, akibat insiden itu mangsa terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya.
Susulan kejadian tersebut, polis telah menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan termasuk sebilah sabit berhulu panjang serta sebuah motosikal.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Baca juga:








