Oleh: Kamilia Ali
PORT DICKSON: Seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti berenang berdekatan Sun Shine Bay, Batu 2, Jalan Pantai, di sini, Negeri Sembilan, semalam.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khalid Dollah, mangsa dikhuatiri lemas kira-kira 200 kaki dari pantai.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson dan BBP Teluk Kemang.
“Mangsa berjaya dijumpai pada pukul 12.50 pagi pada 31 Januari 2025 dalam jarak 250 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Mangsa turut disahkan telah meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian sebaik dihubungi tentang kejadian itu pada pukul 6.31 petang.
Tambahnya, seramai 14 anggota bomba telah ditugaskan dalam operasi tersebut bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS, lori, kenderaan Navara, dan kenderaan BATV. Difahamkan, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.20 pagi.
Baca juga: