Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius isu tular di media sosial melibatkan tindakan seorang lelaki warganegara tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa.
Menerusi kenyataan media pada Khamis, Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, perbuatan berkenaan telah mengundang reaksi negatif masyarakat serta disifatkan mencabar sensitiviti agama dan norma budaya negara.
Menurut beliau, dari perspektif Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Perbuatan sedemikian jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan mencabar sensitiviti agama serta nilai budaya yang menjadi pegangan masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
JAWI juga diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menurunkan kandungan berkaitan yang tersebar di media sosial.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata pendekatan dakwah dan pencegahan akan terus diperkukuh melalui khutbah, program keagamaan serta penyampaian di platform media sosial.
Langkah berkenaan, jelas beliau, bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat selain memelihara keharmonian dan nilai budaya negara.








