Lelaki Berpaut Pada Kereta Bergerak Direman Tujuh Hari

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki selepas tular rakaman video memaparkan tindakannya berpaut pada bahagian luar sebuah kereta yang sedang bergerak di Bandar Seri Alam, 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan dijalankan sejurus video berdurasi 11 saat itu dimuat naik menerusi akaun media sosial ‘Komuniti Bandar Seri Alam’, dengan kejadian berlaku kira-kira pukul 3.50 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan seorang wanita yang juga bekas isterinya.

“Pertelingkahan dipercayai bermula di sebuah pasar raya di kawasan Bandar Seri Alam,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak memanjat bonet dan berpaut pada bahagian hadapan kereta yang dipandu wanita terbabit sejauh kira-kira dua kilometer sebelum kenderaan itu dihalang sekumpulan lelaki dipercayai rakannya.

“Kumpulan terbabit dipercayai telah memeras ugut mangsa dengan merampas barangan miliknya serta memecahkan cermin kenderaan berkenaan,” katanya lagi.

Bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun itu kira-kira pukul 2 pagi tadi di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai.

Mahkamah Johor Bahru membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Mac bagi membantu siasatan lanjut.

Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif ketamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat terhadap harta benda serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dijalankan secara teliti dan adil,” katanya.

Anda Mungkin Berminat