Seorang lelaki dipercayai warga tempatan bertindak membuat laporan palsu mendakwa kad pengenalannya telah hilang akibat disamun.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Jaimi Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu kira-kira pukul 12 pada Jumaat.
Menurutnya, suspek mendakwa dirinya telah disamun oleh empat lelaki yang menaiki tiga buah motosikal serta menggunakan helmet dan pelitup muka.
“Lelaki tersebut mendakwa memngalami kerugian wang tunai sebanyak RM1,000, kad pengenalan, kad ATM Agro Bank dan lesen memandu kelas D.
“Hasil soal siasat mendapat kejadian jenayah itu tidak berlaku dan individu berkenaan mengaku membuat laporan palsu kerana tidak mahu membayar denda bagi mendapatkan kad pengenalan gantian di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Justeru, polis mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenang nya membuat laporan palsu kerana ia akan memberikan gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di Daerah Kota Samarahan dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak atau individu sedemikian.
Baca juga: