Lelaki cabul murid perempuan miliki kad OKU sejak kecil – JKM

PETALING JAYA: Remaja lelaki yang ditahan kerana didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali semalam disahkan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, hasil pemeriksaan dan semakan oleh pihaknya mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati dia mempunyai kad OKU ‘Learning Disability’ (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya memetik laporan media tempatan.

Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Februari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Sebelum ini, polis menerima laporan pada pukul 8.19 pagi semalam berhubung kejadian itu yang turut tular dalam media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid terbabit.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud, dari arah belakang tanpa disedari jemaah lain.

Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit dilihat mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.

Bagaimanapun, mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.

Anda Mungkin Berminat