Lelaki curi mesin basuh ditahan

ULU TIRAM: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian mencuri mesin basuh di kedai barangan elektrik di Taman Desa Cemerlang, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 1.30 tengah hari.

“Polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi enam saat yang dimuat naik melalui akaun Facebook memaparkan perbuatan suspek melakukan jenayah mencuri sebuah mesin basuh.

“Polis kemudiannya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun pada hari yang sama laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Polis turut merampas sebuah mesin basuh jenama Midea, selain turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari mulai Ahad sehingga Rabu ini.

Difahamkan, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah.

Justeru, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri dan jika disabitkan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali.

Oleh: Farah Faizal

Anda Mungkin Berminat