Oleh: Kamilia Ali
KUNAK: Seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya di Ladang KLK Jatika, di sini, Sabah telah dijumpai oleh orang awam dan pasukan bomba kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian pada pukul 9.40 pagi, hari ini.
Komander Operasi Kanan Bomba, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Omarbatha berkata, mangsa merupakan lelaki berusia 50 tahun telah disambar oleh buaya semasa menjalankan aktiviti memukat di sungai.
“Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak pada 30 September pukul 11.18 pagi menerusi talian dan pasukan bomba terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan kaedah “surface searching” bersama agensi lain dan orang awam di kawasan mangsa dilaporkan disambar buaya sebelum hilang dan di sepanjang sungai menggunakan bot orang kampung sebelum operasi SAR disambung pada hari kedua (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, sebaik sahaja mangsa ditemui mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Semporna untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, empat anggota bertugas daripada BBP Kunak terlibat dalam sesi menyelamat dan agensi lain yang terlibat adalah pihak PDRM, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk kampung. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.48 pagi.