Lelaki Didakwa Pijak Al-Quran, Berdepan Dua Pertuduhan Esok

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disiasat berhubung tindakan memijak al-Quran akan dihadapkan ke mahkamah esok (Selasa) dengan dua pertuduhan.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Vikneswaran Selvanathan akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci oleh penganut agama Islam.

Menurut kenyataan itu, tertuduh didakwa memijak al-Quran dengan pengetahuan bahawa perbuatan berkenaan merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam.

“Kedua-dua pertuduhan tersebut akan dikemukakan di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pada 3 Mac 2026,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Selain itu, Vikneswaran turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didakwa membuat serta memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau melalui aplikasi Threads dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Jabatan Peguam Negara berkata, keputusan mendakwa dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden yang dilaporkan berlaku di Kuantan, Pahang.

“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan berkenaan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap orang yang disyaki,” menurut kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat