Lelaki Disyaki Mengaku Rasul Ditahan di Rawang

SHAH ALAM: Seorang lelaki berusia 65 tahun yang disyaki mengaku sebagai Rasul ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Rawang, semalam.

Serbuan itu turut menahan tiga individu lain, dipercayai pengikut termasuk dua lelaki dan seorang wanita.

Menurut siasatan awal, lelaki terbabit mendakwa telah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, manakala bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.

Dia juga mendakwa bertemu dengan para Rasul dua hingga tiga kali seminggu dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pengikut lelaki itu percaya bahawa dia adalah utusan Allah.

“Beberapa amalan yang dilakukan pengikutnya seperti tidak solat atau berpuasa jika berasa letih, dianggap sebagai suruhan ilahi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki terlibat dalam perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak dan mendakwa dirinya sebagai Rasul serta mengetahui perkara di luar pengetahuan manusia.

Sehubungan itu, satu pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS telah diarah menyiasat secara terperinci, yang membawa kepada penahanan keempat-empat individu disyaki berkenaan.

“Pasukan khas menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk memastikan kebenaran fakta dan perlakuan yang disyaki menyalahi hukum syarak.”

“Siasatan akan diteruskan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil, bagi memastikan semua pihak yang terlibat dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan syariah yang berkuat kuasa.” Katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat