Oleh: Kamilia Ali
MIRI: Seorang lelaki tempatan disyaki memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 70 gram (g) ditahan polis di kawasan Lutong, di sini pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis, Alexson Naga Chabu, tangkapan dilakukan oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada Selasa sekitar pukul 2 petang.
“Hasil serbuan di sebuah pondok telah menemui satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi 13 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 70g.
“Anggaran nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM7,700,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman berat termasuk gantung sampai mati atau penjara seumur hidup bersama sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan.
Pada 22 Januari, suspek telah dibawa ke Mahkamah Miri bagi permohonan reman selama enam hari sehingga 28 Januari 2025 untuk siasatan lanjut.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah untuk tampil melaporkannya ke balai polis terdekat.
Langkah ini penting bagi membendung kegiatan jenayah dadah yang merosakkan masyarakat serta kerjasama awam amat dihargai dalamusaha membanteras aktiviti dadah ini.
Baca juga: