Seorang lelaki tempatan bersama 19 pek plastik lutsinar mengandungi serbuk hijau dipercayai serbuk ketum dan cecair berwarna coklat air ketum ditahan di Kampung Ongkilan, Sabah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Zairolnizal Ishak berkata, polis menjalankan siasatan terhadap suspek berkenaan bagi mengetahui keberadaan pembekal serbuk ketum serta cara ia dibawa masuk sehingga ke peringkat di proses untuk dijual di pasaran tempatan di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, berdasarkan maklumat pegawai serta anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kota Marudu telah menyerbu sebuah rumah dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar air ketum.
“Hasil pemeriksaan di rumah disaksikan sendiri pemilik rumah, polis menemui beberapa botol mengandungi cecair berwarna coklat dipercayai air ketum yang telah siap diproses.
“Polis juga turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk memproses serta memasak air ketum bersama wang tunai berjumlah RM400,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek kemudian direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Kes disiasat di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-dua sekali.
Baca juga: