Lelaki Ditahan Sebar Video Hasutan, Hina Institusi Diraja Di TikTok

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun selepas dipercayai menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi diraja menerusi aplikasi TikTok.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 selepas pihak berkuasa mengesan video dari akaun @muhammad.bin.abdu969 yang didapati mengandungi elemen provokatif.

“Video tersebut mengandungi elemen hasutan serta menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Tindakan sebegini boleh menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk satu kes berkaitan narkotik dan tiga lagi melibatkan jenayah lain.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 di bawah Akta Hasutan. Seksyen 504 pula memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, manakala Seksyen 233 membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM500,000.

Kumar menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan provokasi atau menghina institusi negara.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan hasutan, penghinaan atau sebarang bentuk provokasi,” tegasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan sentiasa menghormati undang-undang negara bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Anda Mungkin Berminat