BENTONG: Polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun selepas dipercayai memandu secara berbahaya dan menyerang seorang pemandu lain dalam kejadian di Kilometer 10.3 Jalan Genting Highlands, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian kira-kira jam 9 pagi itu tular di media sosial selepas rakaman dashcam berdurasi satu minit 23 saat tersebar sejak kelmarin.
Siasatan awal mendapati suspek memandu secara berbahaya, brek mengejut dan menghalang laluan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke Subang Jaya, Selangor.
Mangsa kemudian memintas, namun suspek bertindak mengejar dan melanggar bahagian belakang keretanya.
“Kedua-dua kenderaan berhenti di bahu jalan sebelum suspek menumbuk muka mangsa dan mencederakan lehernya. Pergaduhan itu dileraikan dua rakan mangsa yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Susulan insiden tersebut, polis menahan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih dalam siasatan.
Difahamkan, jalan berkenaan kerap menjadi lokasi kesesakan dan insiden berisiko tinggi, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Baca juga:








