Pemuda temui ajal di tebing Sungai Terengganu

Keriangan dua sahabat bermain bot kawalan jauh di Sungai Terengganu dekat Kampung Bukit Tumbuh, Terengganu berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan mati lemas kira-kira pukul 12.46 malam tadi.

Dilaporkan, 16 daripada anggota termasuk empat Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 10.55 malam.

“Kita telah melakukan dua kali selaman sebelum mangsa, Ahmad Yusof Din, 24, ditemukan kira-kira 30 meter dari jeti nelayan kampung berkenaan, jam 12.56 tengah malam.

“Mangsa ditemukan di dasar sungai dalam keadaan meniarap pada kedalaman air 12 meter,” kata PPDA menerusi satu kenyataan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa dikatakan lemas ketika ingin mengambil bot kawalan jauh miliknya yang rosak di sungai berkenaan kira-kira jam 10 malam.

Mangsa dikatakan bermain bot kawalan jauh bersama rakannya, Muhammad Danial Hafriz Abdul Halim, 26, di kawasan jeti berkenaan, kira-kira 50 meter dari rumahnya, namun mangsa dipercayai mengalami kekejangan otot dan hal itu disaksikan oleh rakannya yang cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal.

Ketika kejadian, rakan mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam di lokasi kejadian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat