Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Stor Berkunci Di UPSI

TANJUNG MALIM: Seorang lelaki berusia 53 tahun ditemui meninggal dunia selepas terperangkap dalam sebuah stor berkunci di fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.

Mangsa ditemukan dalam stor yang digunakan untuk menyimpan peralatan pembersihan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.57 pagi daripada polis bagi mendapatkan bantuan membuka pintu stor.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kira-kira sembilan kilometer dan tiba pada pukul 2.07 pagi.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi, pintu stor telah dibuka oleh polis bantuan UPSI.

“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemantauan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi dikawal pada pukul 2.17 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.36 pagi,” katanya.

Seramai sembilan anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).

Dalam pada itu, UPSI dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan akan membantu waris dalam pengurusan jenazah setelah proses bedah siasat selesai.

Difahamkan, Allahyarham Mohd Radzi Ariffin merupakan pekerja bagi sebuah syarikat swasta yang beroperasi di Arena Boling UPSI.

Jenazah beliau telah dibawa ke Hospital Slim River untuk proses bedah siasat (post-mortem).

Anda Mungkin Berminat