KLANG: Polis mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditemui tidak bernyawa di kawasan Klang Utara, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 7.26 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi pemeriksaan awal.
“Pusat Kawalan IPD Klang Utara menerima maklumat berhubung penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan dan tindakan segera diambil dengan menghantar pasukan polis ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau, membabitkan dua kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta satu kes di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (SHOD).
Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membabitkan kes bunuh, manakala motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.
Shazeli turut menyeru orang ramai agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Muhamad Ramli di talian 012-9392198 atau Bilik Gerakan IPD Klang Utara di 03-32912222,” katanya.
Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta ketenteraman awam.







