Lelaki hina, singgung agama Islam dipenjara 10 bulan, denda RM50,000

Oleh: Tyah Helmi

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen 1 Miri pada Selasa selepas didapati bersalah memuat naik komen menghina dan menyinggung sensitiviti agama Islam berkaitan pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan tertuduh yang dikenali John Mule anak Alai, 48, membuat hantaran tersebut menerusi akaun Facebook sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai kerana kandungannya disifatkan sebagai jelik melampau serta menghina ayat suci al-Quran dan Allahyarham.

“Beliau selaku pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci Al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau,” katanya.

MCMC memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang memuat naik kandungan menghina atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat