Lelaki Maut Dalam Kebakaran Kondominium Mont Kiara

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditemui maut dalam kebakaran di sebuah unit kondominium mewah Tiffani Kiara by i-Zen, Mont Kiara, malam tadi.

Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan mangsa ditemukan di balkoni unit tingkat 26 dengan kesan melecur di seluruh badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.46 malam melalui sistem NG999.

Susulan itu, pasukan bomba dari Balai Sri Hartamas, Menjalara, Sentul dan Taman Tun Dr Ismail segera digerakkan ke tempat kejadian.

Namun, usaha memadam api berdepan cabaran besar apabila sistem pencegahan kebakaran bangunan didakwa tidak berfungsi dengan baik.

Anggota bomba terpaksa menggunakan dua pam mudah alih serta pam enjin bagi menyalurkan air ke unit terbabit.

Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 1,500 kaki persegi kediaman itu akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 2.03 pagi.

Punca kejadian kini sedang disiasat oleh unit forensik bomba.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, dalam hantaran di Facebook berkata, kerja pembersihan asap masih dijalankan dan penduduk diminta menunggu arahan bomba sebelum kembali ke kediaman masing-masing.

“Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan forensik selesai,” katanya.

Beliau turut berkata, satu mesyuarat tergempar akan diadakan bagi menjalankan audit keselamatan.

Anda Mungkin Berminat