Lelaki maut dalam kemalangan antara 2 buah lori di Lebuhraya PLUS

Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di KM 62.4, arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kira-kira pukul 3 pagi hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh melaporkan mangsa merupakan warga tempatan berusia 41 tahun yang bergerak dari utara menghala ke Johor Bahru memandu sebuah lori jenis Mercedes Benz.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat membrek dan melanggar bahagian belakang sebuah lori kontena jenis Volvo yang dipandu oleh lelaki warga tempatan berusia 42 tahun.

“Lelaki berkenaan telah bertindak untuk memperlahankan lori yang dipandunya kerana kesesakan lalu lintas di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bahrin turut memaklumkan disebabkan pelanggaran tersebut, pemandu lori jenis Mercedes Benz mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang semasa menerima rawatan manakala pemandu lori jenis Volvo tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut menasihat pengguna jalan raya untuk berhati-hati dan bertimbang rasa di jalan raya untuk mengelak berlaku sebarang kemalangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat