Lelaki maut, kereta masuk laluan bertentangan di Jempol

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Besar Palong, Jempol, Negeri Sembilan kira-kira pukul 3.45 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kereta yang dipandu lelaki berumur 28 tahun bersama ibunya yang berusia 56 tahun telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Selepas memasuki laluan bertentangan, kereta berkenaan melanggar motosikal mangsa yang berusia 47 tahun tersebut hingga terbalik di bahu jalan arah bertentangan.

“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu kereta patah tangan kiri dan penumpang pula patah tangan kanan serta luka pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hoo turut berkata, kes kemalangan tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat