SENDAYAN: Seorang lelaki maut selepas diserang sekumpulan suspek bersenjata pistol dan parang di Nusari Biz dekat sini, lewat malam semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.23 malam itu, mangsa datang ke sebuah restoran bersama keluarga diserang ketika menuju ke keretanya.
Enam suspek bertutup muka menaiki beberapa buah kereta dikatakan menghalang laluan mangsa sebelum menyerangnya.
“Mangsa cuba melarikan diri ke arah jalan raya, namun suspek terus mengejar dan melepaskan tembakan serta menyerangnya dengan parang,” katanya.
Mangsa berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, dengan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tembakan dan tetakan pada badannya.
Unit Forensik, Unit K9 dan pasukan penyiasat telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengumpul bukti fizikal dan bahan berkaitan bagi membantu siasatan.
Bedah siasat dijadualkan berlangsung hari ini di Hospital Tuanku Ja’afar. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Polis turut memaklumkan bahawa mangsa mempunyai 42 rekod jenayah lampau melibatkan samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.
Pihak polis kini memburu semua suspek terlibat dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi Hotline IPD Seremban di talian 06-6032222.
Baca juga:







