Lelaki maut, motosikal ditunggang terbabas sendiri di Pasir Gudang

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri di KM 20.3 pada pukul 2.20 petang Khamis, Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, mangsa yang berusia 56 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC merempuh papan tanda yang berada di bahu jalan selepas terbabas sendiri.

“Kemalangan berpunca daripada penunggang tersebut mengelak sebuah kereta yang dipandu warga tempatan berusia 64 tahun, menukar laluan dari lorong tengah ke lorong kiri jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak ambulans,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Roslan turut berkata, siasatan kemalangan tersebut dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis turut menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat