Seorang lelaki maut selepas tersepit di antara rak besi dan lori di sebuah kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 9 pagi hari Sabtu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, mangsa yang berusia 64 tahun tersebut merupakan pemandu lori di kilang berkenaan.
“Siasatan awal JKKP mendapati mangsa telah menghidupkan lori berkenaan untuk memulakan tugasan harian namun lori berkenaan telah bergerak ke hadapan dengan sendiri ketika mangsa berada di bahagian pintu lori.
“Disebabkan pergerakan lori tersebut, mangsa telah tersepit di antara lori serta rak besi yang berada bersebelahan dengan lori berkenaan dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Susulan insiden tersebut, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja di kawasan tersebut sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti.
“JKKP Pulau Pinang juga akan mengadakan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” tambah kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, JKKP mengambil serius mengenai setiap kemalangan dan penyakit yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor, maka pihak mereka akan kekal komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara.
Baca juga: