Seorang lelaki maut setelah motosikal jenis KTM Duke 200 yang ditunggang merempuh bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Mohd Naim Asnawi, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah kereta jenis Audi Q3 2.0 yang dipandu seorang lelaki warganegara India berusia 48 tahun.
“Dia telah memberhentikan kereta di lorong kecemasan di lokasi kejadian ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
“Keretanya telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki warganegara Myanmar (pemastautin tetap) berusia 26 tahun di laluan sama,” katanya.
Tambah Mohd Naim, pemandu itu berhenti di lorong kecemasan kerana dipercayai keretanya mengalami kerosakan.
Oleh yang demikian, akibat daripada pelanggaran itu, mangsa melambung ke atas but kereta dan mengalami kecederaan parah.
“Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Tapah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah Mohd Naim, pemandu kereta dan isterinya berusia 44 tahun serta dua anak perempuan masing-masing 14 dan lapan tahun tidak cedera.
Mayat penunggang motosikal dihantar ke bahagian Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Baca juga: