KUALA KUBU BHARU: Detik cemas di Sungai Selangor berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila seorang lelaki Orang Asli berusia 47 tahun yang dilaporkan hilang semalam (Isnin), ditemui lemas pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan seawal pagi.
Mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama empat rakannya sebelum hilang dari pandangan.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.36 pagi semalam, mencetuskan gerakan pantas pasukan bomba bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian.
“Hasil pencarian sejak semalam membuahkan hasil apabila mayat mangsa dijumpai pada jam 10.53 pagi ini dalam keadaan tersangkut pada ranting di tepi tebing sungai, kira-kira 300 meter dari lokasi asal mangsa mandi bersama rakan-rakannya,” kata jurucakap JBPM.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke hospital berhampiran bagi tujuan bedah siasat.
JBPM menegaskan kepentingan mematuhi garis panduan keselamatan.
“JBPM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan sungai atau rekreasi air khususnya ketika musim hujan yang berisiko menyebabkan arus deras,” katanya.