PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Muar yang menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang lelaki yang mengaku bersalah atas kesalahan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Menurut kenyataan AGC, keputusan untuk merayu dibuat setelah meneliti hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.
“Notis rayuan itu difailkan pada hari ini.
“Lelaki tersebut didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] setelah didapati memiliki 18 rakaman video serta beberapa keping gambar bogel seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun, yang merupakan anak tirinya.
“Seksyen 10 Akta 792 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Pada 19 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar kerana merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video dan gambar bogel anak tirinya.
Tertuduh berusia 56 tahun didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun sedang mandi.
Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, IPD Muar antara 17 September hingga 21 Disember tahun lalu.
Pekerja pembersihan itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Nariman Badruddin berkata perbuatan tertuduh sangat teruk dan berharap lelaki itu insaf dan tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika tidak membayar denda.
Tertuduh kemudian membayar denda itu.