Seorang lelaki rentung dalam kebakaran di sebuah bangunan bertingkat dipercayai dijadikan sebagai bilik sewa yang berlaku di Jalan Mutiara 1, Taman Mutiara, Pontian, Johor pada Ahad.
Menurut laporan Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, kebakaran berlaku adalah melibatkan sebuah kedai tiga tingkat berkeluasan 20 x 70 kaki persegi.
“Kebakaran berlaku di tingkat dua bangunan itu yang telah diubahsuai menjadi bilik sewa.
“Selain itu, dianggarkan terdapat enam buah bilik di tingkat dua tersebut telah terjejas dan musnah akibat kebakaran dianggarkan sehingga 60 peratus kemusnahan.
“Dalam kejadian itu, pihak bomba menjumpai seorang mangsa lelaki telah rentung di dalam sebuah bilik berhampiran dengan dapur,” katanya menerusi kenyataan Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Kes kebakaran bangunan ini telah diambil alih oleh Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenalpasti punca kebakaran serta anggaran kerugian,” katanya.
Pasukan bomba telah bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan sumber air daripada pam kedua-dua jentera.
Justeru itu, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.16 petang. Setelah kerja-kerja overhaul dijalankan hingga selesai, operasi telah ditamatkan pada pukul 5.00 petang.
Difahamkan, seramai 19 anggota bomba daripada dua buah balai berhampiran iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian dan BBP Pontian Baru telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Baca juga: