Seorang lelaki rentung dalam kebakaran kereta selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di kilometer 33.3, Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan Kulai, Johor pada Rabu.
Komander Operasi, BK II Mohd Khairil Buang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.24 malam dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.53 malam.
Menurutnya, seorang pemandu terperangkap dalam Myvi yang terbakar susulan kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu lori treler Scania membawa muatan tanah dan sebuah Proton Iswara.

“Pelanggaran antara Proton Iswara dan lori treler menyebabkan berlakunya kebakaran.
“Kemalangan melibatkan enam orang mangsa yang tiga orang dari Perodua Myvi, dua orang dari Proton Iswara dan seorang dari lori,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa telah dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kebakaran menyebabkan Perodua Myvi telah terbakar hampir 80 peratus, mangsa seorang lelaki telah terperangkap didalam kenderaan tidak dapat diselamatkan, rentung di tempat kejadian.
“Bagaimanapun, mangsa yang lain dapat diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak Bomba tiba di lokasi dan hanya mengalami kecederaan,” katanya.
Difahamkan, operasi pemadaman kebakaran menggunakan aliran air dari jentera bomba dan tamat sepenuhnya pada pukul 2.09 pagi.
Baca juga: