PETALING JAYA: Seorang lelaki warga tempatan berjaya diberkas dalam tempoh 12 jam selepas melakukan rompakan di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek, 32, ditahan pada jam 10.15 malam di sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor bersama sejumlah barangan kemas yang disamun.
Menurutnya, terdahulu, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima satu maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api di pasar raya tersebut pada jam 4.56 petang semalam.
“Suspek yang menggunakan sepucuk pistol semasa melakukan samun telah melarikan tujuh dulang barang kemas yang dipamerkan dan melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya dengan kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.
“Hasil risikan dan maklumat, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan suspek sekitar jam 10.15 malam pada hari yang sama di Bukit Beruntung, Hulu Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Hussein berkata, polis turut berjaya menemui semula barang kemas yang dilarikan serta mengenal pasti rakan suspek dalam kejadian tersebut.
Jelasnya, suspek kini ditahan di IPD Petaling Jaya bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.
Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.
Baca juga: