BARAM: Tindakan berani seorang lelaki yang bertarung nyawa dengan seekor buaya di sungai Kuala Tutoh Baram telah menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa tragedi.
Dalam kejadian pada petang 12 Julai, Dennis Karon, 39 tahun, berjaya melepaskan diri selepas menyucuk mata buaya itu dengan jarinya.
“Saya diseret buaya ke dasar sungai. Saya sempat cucuk matanya dengan jari dan baru buaya itu lepaskan saya,” katanya memetik laporan SarawakEdition.
Kejadian berlaku ketika Dennis sedang menyelam untuk melepaskan jala yang tersangkut di Loagan Tebabui, tidak jauh dari rumah panjang di kampungnya.
Mangsa turun ke sungai bersama abangnya dan seorang rakan untuk menjala ikan selepas makan tengah hari di tebing loagan.
Menurut kronologi, selepas jala dilabuhkan ke arah buih ikan yang kelihatan, Dennis dan abangnya menyelam bagi melepaskan jala yang tersangkut di dasar sungai.
Namun Dennis tidak timbul semula selama lebih 10 minit, menyebabkan abangnya dan rakannya mula cemas dan mengetuk perahu sambil memanggilnya.
Mangsa akhirnya muncul semula di tengah loagan sambil menjerit meminta bantuan kerana buaya tersebut cuba menyerangnya semula.
“Saya sempat cucuk matanya dengan jari,” jelas Dennis, menggambarkan saat genting dirinya diseret ke dasar sungai sebelum berjaya melepaskan diri.
Rakan dan abangnya segera mendayung ke arahnya dan menyelamatkan Dennis dari loagan.
Penduduk kampung digerakkan untuk bantuan segera dan Dennis yang mengalami kecederaan di tangan dan punggung telah dibawa menggunakan perahu ke Kampung Benawa yang satu-satunya laluan darat ke Hospital Marudi, sebelum dipindahkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.








