Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Mayat seorang wanita dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya ditemui dalam sebuah peti sejuk beku di sebuah perumahan Taman OUG, Kuala Lumpur pada Selasa.
Penemuan mengejutkan ini membawa kepada pembongkaran bahawa mangsa telah disimpan sejak tahun 2021.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menyatakan bahawa pihak polis telah menahan suspek, seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun bagi membantu siasatan.
“Pada 12 November (Selasa) jam 8.48 pagi, polis telah menerima makluman berhubung penemuan mayat wanita dalam sebuah peti sejuk beku di sebuah perumahan Taman OUG.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rusdi juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Baca juga: