Lelaki tidur dalam keranda, praktis mati awal di Baling

Oleh: Hanim Nadia

SEORANG lelaki mengambil tindakan berani dengan tidur di dalam keranda sebuah van jenazah sebagai latihan sebelum meninggal dunia.

Kejadian tersebut berlaku berhampiran Masjid Al-Islah Kampung Tiak, Baling di Kedah pada Isnin.

Video itu dipercayai di muat naik oleh pemilik akaun tiktok yang dikenali sebagai Cikgu Fitri Ifqram.

Menerusi video berdurasi 2 minit 44 saat itu, lelaki tersebut sedang tidur dalam keranda dan dilihat enggan beredar pada awalnya setelah ditegur oleh orang ramai.

Ketika terjahan oleh orang ramai yang dipercayai jemaah masjid di situ bertanyakan motif tindakan lelaki berkenaan, dia berkata perbuatan itu adalah merupakan latihan peringkat awal untuk menjadi seorang pengurus jenazah.

“Nak berlatih siap-siap, esok mati tak takut sangat. Macam ni mati ya, takut saya,” kata lelaki itu sambil mendengar bacaan talkin yang dipasang di dalam van tersebut.

“Bukan macam ini caranya, sekiranya nak berlatih kena masuk dalam masjid, solat dan berdoa. Balik ke masjid, balik ke masjid,” balas individu yang berada di situ.

Dalam video tersebut, lelaki itu difahamkan berasal dari Kampung Raja Kupang, Pulai namun identiti belum disahkan oleh mana-mana pihak.

Lelaki berkenaan mendakwa dia datang ke masjid berkenaan kerana masjid di sekitar kawasan rumahnya dikunci dan tidak dapat masuk.

Kata lelaki itu, dia pernah memasuki beberapa buah masjid sebelum datang ke Masjid Al-islah Kampung Tiak.

Lelaki itu juga sempat berkata kepada pihak masjid untuk tidak merakamnya kerana malu jika ia tersebar.

“Jangan ambil gambar, malu weh. Nanti orang kenal saya,” katanya sambil menutup separuh muka dengan hoodie baju sejuknya.

Setakat ini, belum ada kenyataan daripada pihak pengurusan masjid berkenaan insiden itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat