Seorang lelaki yang juga merupakan tukang urut dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Jumaat terkait melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja lelaki yang hilang di Hulu Bernam, Selangor, awal Januari lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Hamid Khan Samoon, 43, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam antara 1 Januari hingga 10 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Namun, tertuduh yang didak diwakili peguam dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung kakak yang sudah ketiadaan suami.
“Saya menanggung kakak saya, anak dia (kakak) sudah meninggal dunia, kakak saya mengharapkan saya sangat-sangat,” katanya.
Susulan mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Kes didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian dua remaja lelaki yang merupakan adik beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor, sejak 1 Januari lalu.
Kemudian, polis menerima laporan seorang daripada remaja berusia 16 tahun mendakwa dicabul dan diliwat seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Sultan pukul 2,48 pagi pada 12 Januari.
Remaja berkenaan turut mendakwa selama dikurung dengan adiknya, mereka diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari sehinggalah mereka berjaya melarikan diri apabila salah seorangnya ditemui tidak bermaya di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni pada 11 Januari.
Baca juga: