Oleh: Haikal Tajuddin
SUNGAI BULOH: Polis mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh di sebuah kedai CU Mart Subang Bestari, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 1.24 tengah hari daripada remaja perempuan berusia 18 tahun.
Menurutnya, semasa remaja terbabit bersama rakannya berada di kedai itu, suspek masuk dan duduk di meja berhadapan dengan mereka.
Katanya, suspek bertindak membuka zip seluar dan membuat aksi lucah di hadapan remaja itu dan rakannya.
“Akibat daripada kejadian itu, remaja itu dan rakannya keluar dari premis terbabit.
“Jika disabit dengan kesalahan, hukuman dalam tempoh pemenjaraan selama lima tahun, mahupun denda atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada mereka yang bersalah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu tindakan mengeluarkan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh hadir di mana-mana balai polis yang berdekatan atau boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjan Darul Salam Mohamed di talian 013- 4519575 bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang perbuatan yang tidak bermoral yang boleh mengganggu orang awam.