Lelaki umur 44 tahun maut basikal dirempuh kereta

Seorang lelaki maut selepas basikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Klebang Besar awal pagi Khamis.

Kesan daripada rempuhan itu, Mangsa, Foo Seck Sim, 44, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah selepas tercampak di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 34 tahun memandu kereta jenis Mazda 3 yang sedang dalam perjalanan pulang dari Jonker Walk menghala ke Duyong sementara mangsa menuju ke Klebang.

Katanya, disebabkan keadaan persekitaran yang gelap, pemandu terbabit tidak menyedari mangsa sebelum merempuhnya dari arah belakang.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Pemandu terbabit yang cemas dengan keadaan itu meneruskan pemanduan kira-kira 500 meter ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kejadian itu polis merakam kenyataan wanita terbabit bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan usaha mengesan waris mangsa sedang dijalankan.

Notis Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat