KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes gangguan seksual di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) berjaya ditahan oleh pasukan Polis Bantuan Prasarana dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Menurut Rapid Rail Sdn Bhd, suspek merupakan warga asing berusia sekitar 19 tahun dan ditahan susulan laporan saksi pada 8 April lalu yang mendakwa seorang lelaki mengganggu penumpang wanita di dalam tren Laluan Kelana Jaya.
“Tangkapan ini dibuat hasil tindakan pantas pasukan Polis Bantuan Prasarana yang berjaya mengesan suspek dalam tempoh kurang 24 jam,” menurut kenyataan Rapid Rail pada Sabtu.

Siasatan awal turut mendapati suspek sama dipercayai terlibat dalam satu lagi kes gangguan seksual yang berlaku di Stesen Kuchai, Laluan Putrajaya.
Suspek telah dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut dan kes disiasat oleh Polis Diraja Malaysia. Rapid Rail turut memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Kami menyeru semua pengguna agar segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan,” katanya.
Terdahulu, tular tindakan seorang lelaki yang didakwa merakam video bawah skirt wanita seorang penumpang wanita di dalam LRT.
Perbuatan jelik itu mula disedari seorang lagi wanita lain di lokasi dan bertindak berani menegur suspek selepas melihat kedudukan telefon pintarnya yang mencurigakan.
Baca juga:








