PETALING JAYA: Kesemua calon serta penyokong yang terlibat dalam proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikehendaki mematuhi garis panduan bagi memastikan integriti, perpaduan dan imej parti teratur sepanjang peringkat terakhir pemilihan.
Menerusi kenyataan media hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Paduka Dr Tan Yee Kew turut mengingatkan kepada semua calon dan penyokong masing-masing untuk turut mematuhi garis panduan tersebut.
Antara peraturan utama yang perlu dipatuhi adalah, dengan hentikan serangan dalaman yang mana calon dan penyokong diminta untuk fokus kepada perbahasan dasar dan idea, serta mengelakkan serangan peribadi atau kenyataan awam yang menghina anggota parti.
Kedua, sebarang dakwaan terhadap mana-mana pihak mestilah disokong dengan bukti yang kukuh yakni mengelakkan diri daripada melakukan sebarang tuduhan tanpa asas.
“Tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak merupakan satu kesalahan dibawah Kod Tataetika Anggota Perkara 1.0.2.2 iaitu membuat kenyataan umum yang tidak benar berbentuk fitnah terhadap mana-mana anggota parti,” katanya.
Ujar Yee Kew, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap aktiviti melibatkan politik wang iaitu memberi atau menerima rasuah, hadiah atau sebarang bentuk habuan bagi meraih sokongan adalah satu pelanggaran terhadap prinsip parti dan peraturan pemilihan.
Katanya lagi, calon serta penyokong yang terlibat perlunya mengamalkan sikap saling hormat-menghormati yang mengatasi permusuhan ketika melontarkan sebarang kritikan.
“Kritikan hendaklah berasaskan kepada dasar atau idea, bukan terhadap individu atau bersifat peribadi. Penggunaan bahasa diskriminatif atau retorik yang mengundang kemarahan akan mencemarkan reputasi parti,” ujarnya.
Dalam nada tegas beliau berkata, bahawa kepercayaan awam hanya dapat diraih melalui maruah, ketelusan, dan tingkah laku yang beretika.
“Sebarang pelanggaran terhadap tata etika anggota akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penggantungan atau pemecatan daripada parti,” tambahnya.
Dalam pada itu katanya, kekuatan parti terletak pada solidariti perjuangan sesama anggota maka sebarang perbezaan pandangan wajar disuarakan secara konstruktif.
“Kempen hendaklah berfokus kepada sesuatu isu dan setiap interaksi perlu berlandaskan adab serta rasa hormat.
“Semua anggota diseru untuk memelihara warisan parti dengan mengutamakan kepentingan bersama mengatasi agenda peribadi,” tegasnya.
Baca juga: